1. Kami organisasi-organisasi petani dan kumpulan-kumpulan masyarakat sivil, dengan ini menggesa kerajaan agar memberhentikan proses pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Kualiti Benih Tanaman di Parlimen, berikutan ketiadaan proses konsultasi yang telus dan menyeluruh dengan semua pihak berkepentingan, khususnya petani-petani kecil dan sederhana dan organisasi-organisasi bukan kerajaan yang berkaitan pertanian dan alam sekitar.

2. Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Malaysia melalui sesi soal jawab kamar khas parlimen pada 18 November 2024 menyatakan bahawa Jabatan Pertanian telah menjalankan satu siri taklimat dan telah melaksanakan Analisis Impak Peraturan(RIA) berkenaan RUU Kualiti Benih Tanaman di mana setiap individu yang memproses dan mengedar benih akan diwajibkan memohon lesen. Menurut beliau lagi, Penyata Impak Peraturan (Regulatory Impact Statement/RIS) bagi RUU Kualiti Benih Tanaman telah dikeluarkan oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) pada 22 Jun 2018.

3. Kami ingin menegaskan bahawa penilaian impak peraturan ini dikeluarkan tanpa pematuhan proses yang ditetapkan untuk RIS. Perundingan yang pertama bersamakami dibuat pada tahun 2019. Setahu kami, tiada langsung perundingan dengan petanidan orang ramai dibuat sebelum RIS dikeluarkan pada tahun 2018. Proses RIS yang dikatakan telah dibuat adalah sangat tidak teratur dan tidak boleh dipercayai untuk menyokong sebarang pelaksanaan rang undang-undang. Bahkan, cadangan penggubalan Akta Benih Tanaman ini hanya diumumkan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian pada 16 September 2018. Kami mendapati bahawa adakumpulan petani tertentu yang tidak dirujuk sama sekali. Bagaimanakah RIS boleh disiapkan sebelum pemberitahuan awam dibuat? Oleh itu, penilaian impak peraturanbaharu mesti dijalankan.

4. Sejak pengumuman cadangan RUU ini, FKMM telah berjumpa dengan pegawai-pegawai Jabatan Pertanian sebanyak tiga kali – sekali pada 2019 dan dua kali pada 2024. Kami hadir ke sesi-sesi ini atas desakan pertemuan dari pihak kami sendiri pada 2019 dan jemputan dari pihak ketiga pada 2024. Tiada usaha dari Jabatan Pertanian sendiri untuk menganjurkan sesi konsultasi bersama kami. Dalam perjumpaan pertama FKMM dengan Jabatan Pertanian pada tahun 2019, kami telah diberikan beberapa butiran berkenaan RUU tetapi tidak dibenarkan melihat teks RUU. Butiran yang diberikan kepada kami menimbulkan kebimbangan yang sangat serius kerana kami diberitahu bahawa setiap individu yang memproses, mengedar, berkongsi dan menjual benih tanaman wajib memiliki lesen, untuk itu, sampel benih tanaman mesti dihantar ke makmal untuk ujian dan kesalahan tidak memiliki lesen adalah denda RM100,000 – RM200,000 dan 3 tahun penjara.

5. Pada tahun 2024, wakil pihak kami telah hadir ke dua lagi sesi konsultasi. Sesiyang dijalankan adalah terlalu umum dan tidak memperincikan RUU tersebut, seperti kesan ke atas amalan berkongsi dan menjual benih secara kecil-kecilan, keperluan menghantar benih ke makmal untuk ujian, serta apakah denda atau hukuman kepada mereka yang tidak berlesen.

6. Objektif RUU ini iaitu untuk mengelakkan pembeli benih daripada tertipu adalah dipuji. Namun dengan mewajibkan pelesenan dan notifikasi kepada Jabatan Pertanian kepada semua individu yang menyimpan dan mengedar benih termasuk petani kecil, iaadalah satu perbuatan yang berlebihan dan hanya akan menguatkan lagi monopoli pihak korporat terhadap benih tanaman. Amalan tradisi petani kecil menyimpan, berkongsi, dan menjual benih secara kecil-kecilan kepada ahli keluarga dan rakanrakan adalah sangat penting untuk kepelbagaian agrobiodiversiti dan menjamin sara diri petani tersebut. Kami percaya bahawa objektif RUU tersebut dapat dicapai melalui undang-undang sedia ada, dan perlu termasuk dalam proses perundingan dengan petani dan orang ramai.

7. Kami ingin menekankan beberapa kebimbangan utama yang telah disuarakan oleh petani dan ramai kumpulan-kumpulan masyarakat sivil mengenai RUU Kualiti Benih Tanaman ini:

  • Menyekat hak tradisi petani untuk bebas berkongsi dan menjual benih tanaman sesama keluarga, rakan-rakan, dan orang awam, kerana pelesenan merupakan satu bentuk kawalan daripada kerajaan – ini bercanggah dengan Hak Petani (Farmers’ Rights) di bawah undang-undang antarabangsa.
  • Kemungkinan peningkatan kos yang besar kepada petani untuk bayaran lesen dan ujian makmal pada masa hadapan. Meskipun ujian makmal kini boleh dibuat secara percuma di makmal milik kerajaan, bayaran pasti akan dikenakan di masa hadapan oleh kerajaan atau swasta apabila jumlah sampel meningkat.
  • Peningkatan monopoli syarikat kerana syarikat lebih berkemampuan menampung kos pelesenan dan pengurusan berkaitan, berbanding individu.
  • Kesan negatif terhadap agrobiodiversiti tanaman kerana melalui pelesenan, benih-benih komersial yang lebih popular atau menguntungkan akan diutamakan.
  • Hukuman denda dan penjara yang keterlaluan terhadap petani dan orang awam, seolah-olah mereka melakukan kesalahan serius – ini juga bercanggah dengan Hak Petani (Farmers’ Rights) di bawah undang-undang antarabangsa.

8. Oleh itu, kami dengan tegas mendesak kerajaan untuk menghentikan usaha membentangkan RUU ini di Parlimen dan mengadakan sesi konsultasi yang telus dan menyeluruh bersama petani dan pihak berkepentingan lain. Transparensi dan keterlibatan semua pihak dalam proses ini adalah penting untuk memastikan keadilan kepada semua pihak termasuk petani dan orang awam yang akan terkesan dengan RUU Kualiti Benih Tanaman ini.