Ape benda pesce-pollotarian ni? 

Macam perkataan mengarut je. 

Okay macam ni la, sebenarnya simple je. Pesce-pollotarian adalah perkataan bahasa Inggeris yang boleh digunakan untuk merujuk kepada seseorang yang tidak makan semua jenis daging merah (seperti daging lembu dan kambing) dalam diet mereka kecuali poultry (daging ayam, itik dan seumpamanya), seafood (hidupan laut), dan sayur la jugak. 

Hidangan yang sedap ini dimasak oleh komuniti Orang Asli di Kampung Kelaik, Kelantan, pada salah satu masa saya ke sana atas urusan kerja di lapangan. Mereka selalunya memakan sayur dan ikan, tetapi pada kali itu, kami bawa juga beberapa ekor ayam untuk di kongsi bersama.

Kenapa tiba-tiba nak jadi pesce-pollotarian?

Saya sebenarnya dah lama berfikir nak kurangkan pengambilan daging merah dalam diet saya. Kenapa? Ada dua sebab yang jelas. 

Pertama, sebab kesihatan. 

Memakan daging merah, terutamanya secara berlebihan, sangat berkaitan dengan kemerosotan kesihatan secara umum. 

Secara khususnya, mengurangkan pengambilan atau memotong terus daging merah dari diet anda boleh mengurangkan risiko penyakit berkaitan jantung, beberapa jenis kanser (terutama kanser kolon), kencing manis, dan boleh membantu anda mengawal berat badan. Ha, semua faedah ni memang membuatkan saya sangat tertarik dengan cara pemakanan ini. 

Kedua, sebab alam.

Anda mungkin sudah tahu yang industri ternakan dan pemprosesan daging, dari mula hinggalah daging itu sampai ke meja makan kita semua, adalah sangat tidak bagus untuk alam. Kenapa? Antaranya kerana ia menghasilkan gas rumah hijau, memusnahkan hutan, dan banyak lagi sebab lain. 

Kerana beberapa sebab peribadi, saya tahu saya tidak boleh berubah menjadi seorang vegetarian atau vegan, tapi saya masih mahu mengurangkan impak persendirian saya kepada alam semampu yang boleh.

Jadi, setelah melihat carta di bawah di salah satu saluran media sosial, saya sudah menyimpan hasrat untuk mencuba, sekurang-kurangnya selama setahun, untuk tidak makan daging merah akibat impaknya yang sangat melampau dengan pelepasan gas rumah hijau yang jauh lebih tinggi dari makanan-makanan yang lain. 

Tapi kenapa sekarang?

Takde sebab sangat pun, cuma proses pemikiran saya telah sampai di destinasi ini buat masa sekarang. Saya mula berfikir ini semua adalah pada lebih kurang bulan Disember 2023. Ambang 2024 akan menjelma tak lama selepas itu, jadi walaupun agak cliché, saya simpan niat untuk merasmikan keputusan saya ini pada 1 Januari 2024. Resolusi tahun baru gitu, atau saya lebih suka panggil, ‘Matlamat 2024’ saya. 

Janji saya pada diri untuk tahun 2024: Tidak makan daging merah langsung bermula 1 Januari 2024 hingga 31 Disember 2024, kecuali yang dah ada dalam peti ais sebelum 1 Januari 2024 (makan lah mak dah masakkan tu, nanti jadi food waste pulak), dan di akhir tahun saya akan menilai semula. 

Macam mana reaksi dari orang lain?

Sebelum tahun baru 2024, saya sudah beritahu beberapa orang dalam hidup saya seperti mak, abah, adik, kakak, dan beberapa kawan rapat saya. Kebanyakan mereka okay je dengan keputusan saya ni, terutama selepas saya beri sedikit penjelasan tentang mengapa. 

Ada seorang je yang macam tak boleh terima keputusan saya dan bertubi-tubi pertanyaan hypothetical yang ditujukan entah dari mana untuk cuba mengubah keputusan saya ini. Akhir sekali saya cuma kata, cuba setahun dahulu dan selepas itu tengoklah bagaimana, barulah dia ni tak banyak soal dah. Haha. Keseluruhannya, okay je la reaksi mereka. Takde yang saya tak boleh handle.

Ada banyak perubahan ke?

Sejujurnya, sebelum ini saya memang seorang yang suka makan daging merah seperti daging lembu dan kambing. Setiap kali  saya nampak daging lembu atau kambing sebagai pilihan di dalam menu restoran, atau di mana saja saya makan (seperti kenduri, dll) memang saya akan terus tunnel vision dan hampir tak nampak pilihan lain dah. 

Itu salah satu sebab mengapa saya nak cuba cara ini. Kerana saya tahu bagi saya, amat susah untuk kurangkan pengambilan daging merah, jadi saya perlu terus tutup pilihan itu dari pandangan mata. Ye, macam melampau tapi ini lah proses saya. Orang lain, mungkin ada proses mereka sendiri. 

Jadi, pertama kali saya keluar makan, saya sudah rasa perubahannya. Mata saya dah tak melilau di halaman pilihan daging merah, saya ‘dipaksa’ melihat menu yang lain. Ada rakan sekerja saya yang selalu makan bersama, meluahkan kerisauannya tentang pilihan hidup saya ini. Dia sangat menyokong, cuma risau je, kerana dia tahu betapa saya suka makan daging merah sebelum ini. Saya yakinkan dia yang saya boleh buat, dan dia pun beri semangat juga. Rakan yang berharga ni.

Selain dari itu, saya juga suka pergi buffet hotpot atau grill. Lama jugaklah tak pergi sampai satu hari beberapa bulan lepas, tiba masa untuk menjejakkan kaki ke hotpot tercinta semula. Saya nervous juga, kerana sebelum ini, saya memang makan mostly daging merah je di hotpot. Boleh ke saya enjoy makan di hotpot yang sama macam biasa? Jawapannya, boleh je. Tak sakit sangatlah. Masih boleh bertahan. 

Dah lebih separuh tahun dah ni. Amacam? Ada kesilapan?

Okay je. Kadang-kadang mesti akan ada dugaan, dari pilihan menu, pujukan kawan, dan dari mana-mana lah. Tetapi saya masih okay, alhamdulillah, setakat ini. 

Saya tidak potong daging merah dari diet secara terlalu tegas, contohnya, kalau sedang makan dengan kawan dan dia nak berkongsi makanannya yang bercampur dengan daging merah, saya masih cuba je, cuma tak ambil bahagian daging merah sahaja. Masih curi ambil nasi, ayam, dan sayur dia >_<

Mungkin ada saya termakan daging merah jika sharing dan tak perasan. Mungkin ada masa saya termakan daging merah sebab ingatkan ayam (seperti hotdog, daging proses ni rupanya lebih kurang je). Tapi saya tak hukum diri. Itu bukan apa yang saya nak capai. Dah perasan tu, berhenti je lah, lepas tu berwaspada lebih sikit.

Bagi saya, matlamat saya bukan untuk tidak sentuh daging merah langsung, seperti bagaimana saya sebagai orang Islam tidak boleh sentuh daging babi. Ia cuma diet berlainan yang boleh memberi beberapa manfaat sangat baik kepada saya. Jadi kita chill chill je. 

Bersama rakan-rakan makan nasi Arab talam, mereka nak makan kambing jadi kami order mix dan saya makan ayam nye sahaja. Masih boleh bersosial dengan kawan ye.

Nak sambung lagi ke?

Buat masa sekarang, ye, saya akan habiskan matlamat ni sehingga hujung bulan Disember, di mana saya akan duduk dan berfikir semula. 

Untuk tahun 2025, siapa tahu apa yang akan jadi? Tunggu je.