Laporan ini mengenai Penyahpelaburan Arang Batu dalam Kewangan Islam menilai semula kaedah saringan sektor tersebut bagi menghayati prinsip Tayyib, berasaskan preseden Tembakau. 

Dubai, UAE – 30 Oktober 2025: Greenpeace Timur Tengah dan Afrika Utara (MENA), sebahagian daripada Gabungan Ummah for Earth, bersama rakan kerjasama Global Ethical Finance Initiative (GEFI), melancarkan ringkasan eksekutif laporan terbaharu mereka bertajuk “Reassessing Coal in Islamic Finance: Ethical Imperatives for Divestment and Sustainability” (Menilai Semula Arang Batu dalam Kewangan Islam: Keperluan Etika untuk Penyahpelaburan dan Kelestarian). Pelancaran ini berlangsung semasa Sidang Kemuncak Ethical Finance GCC pertama anjuran GEFI dengan kerjasama Dubai International Financial Centre (DIFC). Ringkasan tersebut telah diketengahkan dalam satu sesi perbincangan bertemakan “Unlocking Islamic Sustainable Finance” yang membincangkan topik penilaian semula kaedah saringan saham dalam kewangan Islam.

Tujuan ringkasan eksekutif ini adalah untuk mengetengahkan faktor-faktor yang perlu dipertimbangkan oleh para sarjana, pengawal selia dan pengamal dalam menilai semula kedudukan arang batu dalam kewangan Islam. Kertas perbincangan penuh, berserta bukti dan metodologi terperinci, akan diterbitkan semasa COP30.

Global Ethical Finance Initiative menyatakan:

“Penerbitan Ringkasan Eksekutif ini menegaskan kepentingan menyelaraskan kewangan Islam dengan bukti saintifik terkini dan keperluan kelestarian global. Keperluan kerjasama antara sarjana, pengawal selia, dan pelabur kini amat mendesak, kerana kaedah saringan perlu berkembang selaras dengan data baharu mengenai kemudaratan dan impak iklim. Pencemaran udara yang sebahagian besarnya berpunca daripada pembakaran bahan api fosil menyebabkan kira-kira 6.7 juta kematian pramatang setiap tahun,.memaparkan desakan beretika untuk peralihan. Berpandukan prinsip maqāṣid al-sharīʿah (objektif undang-undang Islam), usaha ini menyeru kepimpinan kolektif bagi memastikan aliran modal melindungi nyawa, aset, dan alam sekitar demi masa depan yang adil dan lestari.”

Kertas ini dan ringkasan eksekutifnya mengkaji isu Arang Batu dalam Kewangan Islam berasaskan preseden tembakau. Pelaburan dalam industri tembakau diharamkan kerana kesan buruk terhadap kesihatan manusia. Kertas ini kini mengemukakan persoalan: Larangan terhadap tembakau mencerminkan bahawa proses penggubalan Hukum Islam mengambil kira bukti kemudaratan yang sahih. Bolehkah kewangan Islam terus membenarkan pelaburan dalam arang batu apabila bukti mengenai kemudaratan kesihatan dan alam sekitar semakin jelas, dan pilihan alternatif kini semakin canggih dan meluas.

Ghiwa Nakat, Pengarah Eksekutif Greenpeace MENA, menegaskan:

“Kewangan Islam mesti melalui perubahan paradigma: kemudaratan alam sekitar bukan sekadar isu hijau — ia adalah isu teras Syariah. Pelaburan dalam arang batu menggugat kestabilan ekonomi, mengancam generasi masa depan, dan bukan risiko ESG semata-mata. Ia melanggar maqāṣid al-sharīʿah dan tidak boleh dianggap sebagai sesuatu yang dibenarkan. Arang batu mesti dikecualikan, dan modal perlu disalurkan ke arah penyelesaian yang baik (tayyib), mampan, dan menyokong objektif Syariah. Ianya memerlukan tindakan konkrit: mengiktiraf arang batu sebagai tidak patuh Syariah, mengemas kini kriteria saringan berdasarkan prinsip Tayyib, dan menerbitkan sukuk peralihan untuk membantu pengeluar besar mengurangkan pelepasan karbon sambil memastikan latihan semula pekerja, sokongan komuniti, dan akses kepada tenaga bersih.”

Pelancaran Program Biasiswa Tayyib

Semasa Ethical Finance GCC Summit anjuran GEFI, Program Biasiswa Tayyib (Tayyib Fellowship) turut dilancarkan — satu inisiatif kerjasama antara Greenpeace MENA sebagai sebahagian daripada Perikatan Ummah for Earth dan GEFI melalui Islamic Sustainable Finance Initiative (ISFI).

Tariq Al-Olaimy, Penasihat Kewangan Islam untuk Projek Ummah for Earth di Greenpeace MENA, berkata:

“Program Biasiswa Tayyib melambangkan perubahan asas dalam cara kewangan Islam yang berperanan sebagai penjaga alam sekitar. Dengan melahirkan pemimpin yang mengamalkan pendekatan Tayyib, melangkaui pematuhan halal semata-mata kepada usaha aktif mencapai manfaat mendalam kepada masyarakat dan alam sekitar. Kita sedang membina gerakan yang membuktikan bahawa prinsip Islam serta tindakan terhadap iklim dan alam semula jadi bukan sahaja serasi sejajar, tetapi tidak dapat dipisahkan.”

Peserta program akan menerima bimbingan daripada eksekutif kanan, sarjana Syariah terkemuka, dan perintis dalam kewangan iklim. Biasiswa ini menawarkan peluang unik untuk berhubung dengan lebih 30 pemimpin muda dari seluruh rantau MENA, Asia Tenggara, Afrika, Eropah dan Amerika Utara, membentuk rangkaian global yang kukuh. Para peserta juga akan membangunkan penyelesaian praktikal dan berimpak tinggi dalam kewangan Islam mampan, serta menerima sijil rasmi ISFI Fellowship yang diiktiraf oleh institusi rakan kongsi setelah tamat program.

Program selama 9 bulan ini bertujuan mewujudkan rangkaian global profesional kewangan, sarjana, pembuat dasar, dan inovator dengan potensi untuk memacu generasi baharu kewangan Islam yang mampan. Ia bukan sekadar tentang pembangunan kapasiti, tetapi yang lebih penting adalah pembinaan gerakan untuk membuka peluang pembiayaan iklim bernilai USD 400 bilion, yang boleh dicapai dengan mengalihkan hanya 5% daripada aset kewangan Islam ke arah tenaga boleh diperbaharui dan penyelesaian iklim.