Kenyataan Bersama Batin-Batin, Organisasi Masyarakat Sivil (CSO) dan Masyarakat Orang Asli Pahang bagi Menjawab kenyataan Kebawah Duli Paduka Baginda Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bahawa tanah adat tidak wujud di Pahang.

Merujuk kepada titah Kebawah Duli Paduka Baginda Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang disiarkan pada 21 Februari 2026, yang menyatakan bahawa tiada istilah tanah adat atau warisan tanpa warta sah di negeri Pahang [1].

Kami, Batin-Batin, organisasi masyarakat sivil serta masyarakat Orang Asli negeri Pahang seperti yang disenarai di bawah, dengan ini menyatakan pendirian tegas, berprinsip dan berlandaskan undang-undang berhubung perkara tersebut.

1. Tanah yang kami duduki ialah tanah turun-temurun dan warisan adat

Tanah yang didiami oleh masyarakat Orang Asli di Pahang bukan tanah kosong dan bukan tanah baru diduduki dan diusahakan serta bukan tanah tuntutan baharu. Ia adalah tanah yang telah:

  • Dibuka dan diduduki secara berterusan oleh nenek moyang kami.
  • Diusahakan untuk pertanian sara diri, hasil hutan dan sumber makanan.
  • Digunakan sebagai kawasan perkuburan nenek moyang dan tempat ritual adat serta kerohanian.
  • Diwariskan daripada satu generasi kepada generasi seterusnya hingga ke hari ini.

Bagi kami, tanah tersebut adalah tanah adat yang kami warisi dari nenek moyang kami, dan tanah kehidupan kami. Hubungan kami dengan tanah kami bukan untuk kepentingan ekonomi semata-mata, tetapi juga hubungan budaya, spiritual dan identiti yang telah terbina jauh sebelum sistem pentadbiran moden diperkenalkan.

Kewujudan tanah adat adalah fakta sejarah dan realiti kehidupan komuniti kami. Ia tidak bermula dengan pewartaan, dan ia juga tidak terhapus hanya kerana ketiadaan warta.

2. Pengiktirafan oleh Mahkamah Malaysia: Tanah Adat Bukan Rekaan

Mahkamah-mahkamah di Malaysia telah mengiktiraf prinsip bahawa masyarakat asal mempunyai hak adat atau native title ke atas tanah mereka berdasarkan pendudukan turun-temurun. Antara kes yang boleh dirujuk ialah:

(a) Sagong Tasi & Ors v Kerajaan Negeri Selangor (2002)
Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa masyarakat Orang Asli mempunyai hak adat terhadap tanah yang mereka duduki secara tradisi, walaupun tanah tersebut belum diwartakan sebagai Rizab Orang Asli. Hak tersebut adalah hak di sisi undang-undang dan tidak boleh diambil tanpa pampasan yang sewajarnya. Keputusan ini kemudiannya disahkan oleh Mahkamah Rayuan, mengukuhkan prinsip bahawa hak adat wujud berdasarkan pendudukan dan adat, bukan semata-mata pewartaan.

(b) Adong bin Kuwau & Ors v Kerajaan Negeri Johor (1997)
Mahkamah mengiktiraf bahawa Orang Asli mempunyai hak terhadap wilayah tradisi mereka, termasuk hak untuk mendapat pampasan sekiranya tanah diambil oleh kerajaan. Mahkamah menerima bahawa hak adat adalah kepentingan sah di sisi undang-undang, bukan tuntutan politik atau ihsan.

(c) Mohamad bin Nohing & 5 Ors v Pejabat Tanah & Galian & 3 Ors (2015)
Mahkamah Rayuan mengesahkan bahawa hak adat Orang Asli boleh wujud dan diiktiraf walaupun tanah itu pernah diwartakan sebagai Tanah Rizab Melayu sejak tahun 1923. Mahkamah mengekalkan perintah supaya sebahagian tanah rizab yang berada di kawasan hak adat dikembalikan statusnya kerana pewartaan Tanah Rizab Melayu tidak menghapuskan hak adat masyarakat Orang Asli yang sedia wujud.

3. Ketiadaan Pewartaan Adalah Kegagalan Pentadbiran, Bukan Bukti Orang Asli Tiada Hak

Sekiranya terdapat kawasan yang belum diwartakan sebagai Rizab Orang Asli, hal ini mencerminkan kelemahan dan kegagalan kerajaan negeri dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dalam melaksanakan tanggungjawab pewartaan secara menyeluruh dan sistematik.

Ketiadaan pewartaan:

  • Tidak menghapuskan hak adat yang telah lama wujud.
  • Tidak membatalkan sejarah pendudukan turun-temurun.
  • Tidak boleh dijadikan alasan untuk menafikan kewujudan tanah adat.

Hak adat tidak lahir daripada pewartaan. Pewartaan sepatutnya menjadi mekanisme perlindungan terhadap hak tanah adat yang telah sedia lama wujud. Menyatakan bahawa tanah adat tidak wujud hanya kerana belum diwartakan adalah satu tafsiran yang bercanggah dengan prinsip undang-undang yang telah diiktiraf oleh mahkamah tertinggi negara.

Malah, sebagaimana diputuskan oleh Mahkamah dalam kes-kes di atas kegagalan mewartakan tanah Orang Asli adalah suatu pelanggaran tanggungjawab fidusiari pihak Kerajaan Persekutuan dan Negeri, terhadap Orang Asli.

4. Orang Asli Tidak Boleh Jadi Mangsa Kecuaian Kerajaan Negeri

Kami mengambil maklum titah Kebawah Duli Paduka Baginda yang menyatakan bahawa terdapat tanah yang telah diwartakan sebagai kawasan pendudukan Orang Asli di negeri ini, melibatkan 27 kampung seluas 7,706 hektar.

Namun begitu, sebanyak 83 kampung masih dalam proses pengukuran, dan 18 kampung belum melalui permohonan warta, melibatkan keluasan 24,532 hektar, manakala tanah yang masih belum diukur melibatkan 61 kampung seluas 16,253 hektar.

Keadaan ini tidak boleh menjadikan masyarakat Orang Asli mangsa atas kecuaian kerajaan negeri, kerana permohonan pewartaan ini telah lama dibuat tetapi sehingga kini masih belum dilaksanakan sepenuhnya. Proses pewartaan sejak tahun 1970-an sepatutnya menjadi mekanisme perlindungan hak tanah adat dan ketiadaannya tidak sepatutnya menjejaskan hak atau kehidupan komuniti kami yang telah berterusan menjaga dan memelihara tanah warisan mereka.

5. Keterkilan dan Harapan Kami

Kami tidak menafikan bahawa Kebawah Duli Paduka Baginda Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah menzahirkan komitmen untuk menjaga kebajikan masyarakat Orang Asli.

Merujuk kepada kenyataan Baginda yang dilaporkan pada 25 Februari 2026, bahawa Orang Asli di Pahang akan terus diberi keutamaan dan perhatian, kami menghargai penegasan tersebut serta keprihatinan Tuanku terhadap kesejahteraan masyarakat kami.[2]

Namun demikian, kenyataan bahawa tiada istilah tanah adat atau warisan tanpa warta sah amat mengguris hati masyarakat Orang Asli kerana tanah adat Orang Asli itu sememangnya ada dan adalah merupakan asas kepada kebajikan, keselamatan dan kelangsungan hidup Orang Asli itu sendiri.

Kami berpandangan bahawa kekeliruan berhubung istilah “tanah adat” mungkin berpunca daripada kegagalan untuk mengiktiraf proses pemetaan Tanah dan Wilayah Adat yang telah dibangunkan berdasarkan pengetahuan komuniti, sempadan tradisi serta sejarah pendudukan turun-temurun. Pelan Tanah dan Wilayah Adat yang disediakan berasaskan pengetahuan komuniti ini sering kali tidak diambil kira atau tidak diterjemahkan kepada pewartaan kekal oleh pihak berkuasa walaupun Mahkamah sendiri dalam kes-kes yang dibawa oleh Orang Asli menerima peta komuniti yang disediakan sendiri oleh Orang Asli.

Keadaan inilah yang menyebabkan masyarakat Orang Asli berulang kali dilabel sebagai “penceroboh” atau dianggap menduduki tanah secara haram, walhal komuniti Orang Asli lah yang sejak sekian lama menjaga, memelihara dan mempertahankan ekosistem, hutan serta sumber semula jadi di wilayah tersebut. Tanah yang kami duduki bukan tanah asing bagi kami, tetapi tanah yang diwarisi, diurus dan dipelihara secara lestari mengikut adat dan pengetahuan tradisi.

Kami percaya bahawa kenyataan terdahulu mungkin dibuat tanpa mengambil kira sepenuhnya sejarah pendudukan komuniti serta prinsip undang-undang yang telah diiktiraf oleh mahkamah. Oleh itu, kami berharap agar ruang dialog dapat dibuka supaya penjelasan dapat diberikan secara terus, profesional dan berfakta.

Kami yakin bahawa dengan penjelasan yang menyeluruh, komitmen Tuanku terhadap kebajikan Orang Asli dapat diterjemahkan secara lebih tuntas, termasuk dalam aspek pengiktirafan dan perlindungan Tanah dan Wilayah Adat Orang Asli selaras dengan prinsip keadilan dan kelestarian.

6. Tuntutan Kami

Dengan penuh hormat kepada institusi diraja, kami menyatakan tuntutan berikut:

1. Pembetulan kenyataan

  • Agar Kebawah Duli Paduka Baginda mempertimbangkan untuk membetulkan kenyataan yang menafikan kewujudan tanah adat Orang Asli di Pahang.
  • Pembetulan ini adalah penting bagi memastikan hak masyarakat Orang Asli tidak dipersoalkan, sebaliknya diiktiraf secara moral dan undang-undang.

2. Sesi menghadap/ dialog rasmi

  • Memohon limpah perkenan Kebawah duli Paduka Baginda Tuanku menitah wakil masyarakat Orang Asli yang terdiri daripada Batin-Batin, CSO, serta peguam dan pakar undang-undang hak tanah Orang Asli untuk sesi penjelasan mengenai kedudukan tanah adat dalam sistem perundangan Malaysia.
  • Sesi ini akan membolehkan Kebawah duli Paduka Baginda Tuanku mendapatkan penjelasan berasaskan fakta sejarah, adat dan undang-undang, sekaligus memperjelas sebarang kekeliruan dan membantu pentadbiran negeri membuat keputusan yang selaras dengan prinsip undang-undang antarabangsa.

7. Pendirian Tegas Orang Asli

Kami menghormati institusi diraja sebagai payung negeri. Namun penghormatan tidak boleh ditafsirkan sebagai persetujuan terhadap penafian hak yang telah diiktiraf oleh undang-undang.

Tanah adat bukan rekaan politik.
Tanah adat bukan tuntutan baharu.
Tanah adat adalah realiti sejarah dan kehidupan Orang Asli.

Kami akan terus mempertahankan tanah adat kami secara aman, berlandaskan undang-undang dan prinsip keadilan, demi maruah masyarakat asal di Malaysia serta generasi akan datang.

3 Mac 2026

Kenyataan Dikeluarkan oleh Batin-Batin dan
Masyarakat Orang Asli Pahang serta
Disokong oleh Organisasi Masyarakat Sivil (CSO)

Kenyataan ini dikeluarkan oleh
18 Batin-Batin dan 2,221 masyarakat
Orang Asli di seluruh negeri Pahang

setakat 3 Mac 2026

Kenyataan ini disokong oleh organisasi-organisasi dan individu-individu berikut:

  1. Apa Kata Wanita Orang Asli (AKWOA)
  2. Center for Orang Asli Concerns (COAC)
  3. Jaringan Orang Asal Se-Malaysia (JOAS)
  4. Jaringan Kampung Orang Asli Semenanjung Malaysia (JKOASM)
  5. Jaringan Kampung Orang Asli Pahang (JKOAP)
  6. Persatuan Suku Jakun Pahang (PSJP)
  7. Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan (JKOAK)
  8. Pertubuhan Wanita Orang Asal Malaysia (PWOAM)
  9. Freedom Film Network (FFN)
  10. Sahabat Alam Malaysia (SAM)
  11. Persatuan Aktivis Sahabat Alam (KUASA)
  12. Liga Rakyat Demokratik (LRD)
  13. HAYAT
  14. Federasi Pemuda Kebangsaan (FEDERASI)
  15. MANDIRI
  16. Pusat KOMAS
  17. Suara Rakyat Malaysia (SUARAM)
  18. Persatuan Pengguna-Penguna Pulau Pinang (Consumers’ Association of Penang)
  19. Greenpeace Malaysia
  20. Parti Sosialis Malaysia (PSM)
  21. Kumpulan Sokongan Kg Kelaik
  22. Justice for Sisters
  23. SIUMAN Collective
  24. Pertubuhan Rangkaian Pembangunan Kesinambungan Malaysia (SUSDEN Malaysia)
  25. Persatuan Pemeliharaan dan Pemuliharaan Alam Sekitar Sarawak (Pelihara)
  26. Ana Jonessy
  27. HUSH Collective
  28. Treat Every Environment Special (TrEES)
  29. Gerakan Belia Sepunjabi Malaysia (GBSM)
  30. Alliance of River Three (ART!)
  31. Gabungan Darurat Iklim Malaysia Berhad (GDIMY B)
  32. RimbaWatch Malaysia
  33. Parti Orang Asli Malaysia (ASLI)
  34. SAVE Rivers
  35. Klima Action Malaysia (KAMY)
  36. Partners of Community Organisations (PACOS)
  37. Pertubuhan Suara Anak Sabah (PSAS)
  38. TONIBUNG
  39. SIS Forum (Malaysia)
  40. Tatana Roots
  41. KLSCAH Civil Rights Committee
  42. LLG Cultural Development Centre (Pusat LLG)
  43. Pertubuhan Solidaritas
  44. Agora Society Malaysia
  45. Aliran
  46. Jaringan Hak Tanah Adat Bangsa Asal Sarawak (TAHABAS)
  47. GEGAR (Gerakan Gabungan Anti-Imperialis)
  48. Martabat Untuk Semua Petaling Jaya
  49. G25 Malaysia (G25)
  50. Beverly Joeman