Apakah erti Ramadhan? Bagi umat Islam di seluruh dunia, Ramadhan adalah masa untuk bertaqwa dan muhasabah diri. Bagi saya, bulan ini lebih daripada setakat menahan diri daripada makan dan minum dari subuh hingga senja. Ia juga mengenai kesedaran, kesyukuran dan disiplin diri. Saya fikir aspek ini boleh direplikasi ke dalam tujuan dan tanggungjawab kita kepada planet dan manusia.
Terdapat banyak peluang untuk mementingkan alam sekitar sepanjang Ramadhan. Lagipun, warna hijau sangat simbolik dengan alam dan juga budaya orang Islam. Jadi, izinkan saya berkongsi perjalanan peribadi saya untuk menjadi mesra alam dengan harapan ia boleh memberi anda beberapa idea tentang bagaimana kita semua boleh memainkan peranan semasa bulan puasa dan seterusnya.
Bawa Kit Bazar Anda Sendiri
Kali pertama saya membawa bekas makanan sendiri ke bazar Ramadhan, saya terlalu obses berfikir tentang persepsi orang lain. Tetapi sebaliknya, saya mendapat galakan positif daripada mak cik nasi campur. Tidak lama kemudian, saya mendapati bahawa membawa kit saya sendiri ke bazar adalah lebih mudah daripada mempunyai banyak beg plastik untuk dijinjing. Dengan beg beli-belah saya sendiri, bekas itu kekal elok, rata dan stabil. Tiada lagi makanan tertumpah sejak 2019!
Jika saya bernasib baik, saya mendapat kupon makanan daripada ahli majlis bandaran yang memberi ganjaran kepada orang yang membawa bekas mereka sendiri. Sudah tentu, ganjaran terbesar ialah pengurangan atau pemansuhan plastik sekali pakai pada penghujung iftar. Jadi bawalah kit bazar anda sendiri. Anda juga boleh memperibadikan kit anda kepada personaliti yang anda suka.
Mengurangkan Pembaziran Makanan
Ini adalah agak sukar untuk saya. Sesiapa yang berpuasa sepanjang hari boleh memberitahu anda betapa sukarnya menahan diri daripada membeli setiap hidangan dan juadah yang dipamerkan di bazar. Semasa saya berumur setahun jagung, saya pernah membuat kesilapan dengan membeli terlalu banyak makanan. Semasa berbuka puasa, akan ada begitu banyak sisa, malah makanan yang tidak disentuh pun. Jadi, saya perlahan-lahan belajar mengawal nafsu tamak haloba. Saya akan mengingatkan diri saya bahawa saya mempunyai makanan yang mencukupi dalam beg ‘We Bare Bears’ saya dan saya boleh kembali esok untuk mencuba biryani kambing yang menjemput selera tadi.
Itulah sebabnya dengan membawa kit sendiri, anda boleh menganggar jumlah makanan yang dibeli. Biasanya, saya hanya perlukan 1 bekas untuk hidangan utama, dan mungkin dua bekas lagi untuk kuih dan moreh atau sahur. Ini bergantung pada pengambilan kalori anda, atau jika anda membeli untuk orang lain. Tetapi dengan kit anda sendiri, anda boleh menyesuaikan bahagian anda dan lebih mengawal makanan yang anda beli di bazar!
Apabila bercakap tentang sisa makanan, saya cuba untuk tidak membuangnya ke dalam tong sampah. Sejujurnya, agak sukar untuk membuat kompos apabila anda tinggal di apartemen tinggi yang tidak mempunyai taman komunal, apatah lagi tong kompos.
Tetapi itu tidak bermakna anda tidak boleh mencuba, bukan? Saya fikir kita boleh mulakan dengan mengasingkan kulit buah dan bawang, bersama-sama dengan sisa makanan organik lain (tidak termasuk tulang dan kulit telur). Kita boleh cuba pengomposan yang sesuai di dalam rumah (saya dengar bokashi boleh berkesan), atau tanamkan dengan betul di kawasan tanah di bawah pohon-pohon.
Mengurangkan Penggunaan Tenaga
Dalam bulan yang penuh dengan peringatan untuk bersederhana dan berhemat, kita juga harus mengambil kira penggunaan tenaga. Kita semua tahu untuk mematikan lampu dan kipas apabila tiada di dalam bilik, atau beralih kepada peralatan cekap tenaga. Saya mendapati bahawa membuka tingkap membantu mengudarakan rumah secara semula jadi dan mengurangkan keperluan untuk penyaman udara. Kita juga boleh membersihkan kipas siling supaya dapat membantu menyejukkan rumah dengan lebih baik.
Semasa solat Tarawih, saya gemar memilih kawasan masjid yang terbuka jika tidak hujan. Angin malam yang nyaman amat indah untuk dialami tatkala kita menumpukan diri ke arah kerohanian dan ketaqwaan.
Ramadhan yang Lebih Bermakna
Ramadhan adalah masa untuk saya muhasabah tujuan hidup saya, tanggung jawab kepada planet dan komuniti saya. Sesetengah orang menggunakan masa ini untuk melaraskan semula diri mereka dan memperbaiki hubungan yang lebih mendalam dengan Allah s.w.t. Saya harap perkongsian saya ini berguna untuk meneruskan perjalanan anda tersendiri. Saya berharap Ramadhan kali ini yang penuh bermakna. Selamat berpuasa semua!