#NgamDenganAlam
Klik imej di atas untuk tip berkaitan tema cabaran mingguan!
Minggu Plastik
Tip 1
DIY Beg Tanpa Jahit: Guna Semula T-Shirt Lama sebagai Beg
Sepanjang bulan Ramadhan yang mulia ini, mari kita ke arah amalan lestari dengan projek kreatif kecil, untuk mengguna semula pakaian lama menjadi beg tanpa jahitan, sebagai salah satu langkah yang menggalakkan gaya hidup kurang pembaziran dan kurang plastik sekali guna, sambil menguji kreativiti kita.
Mesti ada baju di belakang almari anda yang dah lama tak pakai tapi masih sayang kan? Tak payah buang, mari kita berikan nafas baru! Sama ada t-shirt kumpulan rock kegemaran anda ataupun hadiah daripada orang tersayang, kita ada cara menarik untuk gunakan semula supaya kenangan baju itu tersimpan.
Apa yang anda perlukan:
T-shirt lama
Gunting fabrik
Hiasan (pilihan; jika anda rasa artistik)
Langkah-langkah untuk membuat beg tanpa jahit menggunakan t-shirt lama:
Langkah 1: Potong lengan t-shirt mengikut garisan lengan. Ulangi proses untuk lengan yang satu lagi.
Langkah 2: Potong garis leher dalam bentuk ‘U’. Ini akan jadi bukaan beg anda.
Langkah 3: Potong seakan-akan renda, kira-kira 2-4 inci tebal, sepanjang bawah baju anda.
Langkah 4: Ikat renda tadi bersama-sama. Ikat dua atau tiga kali ganda untuk memastikan ia diikat dengan selamat dan benda-benda tidak akan tertumpah. Ikat bersilang juga akan bantu ia lebih rapat.
Langkah 5: Voila! Beg tanpa jahit anda sedia untuk dibawa keluar sambil bergaya!
Beg tanpa jahit anda sedia untuk digunakan, membuktikan bahawa dengan sedikit kreativiti dan inovasi, kita boleh membuat perubahan positif untuk alam sekitar tanpa mengeluarkan duit pun.
Jangan lupa untuk MENOLAK, MENGURANGKAN, MENGGUNAKAN SEMULA, REKA SEMULA dan MEMBAIKI sebelum membuang barang berharga anda.
Tip 2
Sapot Kedai Lokal yang Amalkan Konsep Mesra Alam
Berikut senarai kedai yang kami tahu.
Apa kata kalau anda kongsi kedai kegemaran anda di FB, IG, X ataupun Threads, (tag @greenpeacemy ye) dan kami akan menambahkannya ke senarai ini supaya kita semua boleh menambah ilmu sesama kita!
KL & SELANGOR | NEGERI LAIN | |
– 33 RiceMart – A Bit Less Bulk Store – Athena Empowers – Barakah Organic Homestead – Barkery Oven – Basics Zero Waste Store – Bubbles AEON Taman Maluri – Community Eco Market – Foodies With Love – Go Bulk Store – GroundControl – Health & Eco Enviro i-ECO – In Between Cultura – Karun Hijau – Kinder Soaps – KitaRefll – Liquid Etc | – Mayura Apothecary – Minimize Zero Waste Store – Nourish & Nibbs – NUDE The Zero Waste Store – NULL Zero Waste Factory – Origin Bulk Store – Plucked -Refiller Mobile – Seedy Zero Waste Store – Single Step Zero Waste Store – The Hive Bulk Foods – The Olive Tree – Watsons The Exchange TRX – Zero Waste Earth Store | – Bare Concept Store (Melaka) – BYOB (Semenanjung Malaysia) – Eco Genesis Inc (Kota Kinabalu) – iCycle (Semenanjung Malaysia) – Joyous Zero Waste Store (Johor Bahru) – Koru Bulk Store (Kuching) – Minus Zero Waste Store (Johor Bahru) |
Minggu Tenaga
Minggu ni, kita akan fokus kepada penggunaan tenaga. Mari kita meneroka macam mana nak buat pilihan bijak yang akan membantu mengurangkan impak kita keatas alam sekitar.
Tip 1
Jalan, Kayuh, atau guna Pengangkutan Awam
Cuba gunakan cara yang lebih mesra alam untuk ke masjid atau bila anda menjalankan aktiviti seharian. Bila anda berjalan kaki, berbasikal, atau menggunakan pengangkutan awam, anda bukan sahaja mengurangkan emisi, tetapi anda juga memupuk gaya hidup sihat dan ikatan lebih erat dengan jiran tetangga.
Tip 2
Semak Tabiat Harian Kita
Cuba ambil masa sekejap untuk fikir tentang tabiat harian kita yang berkaitan dengan tenaga elektrik. Tanya diri anda; mengapa anda buat sesetengah perkara dan renungkan jika ada cara lain yang lebih baik, cara yang lebih mesra alam?
Beberapa soalan yang boleh bantu anda: Bagaimana saya boleh mengurangkan penggunaan tenaga elektrik tanpa mengganggu keselesaan saya? Apakah perubahan kecil yang saya boleh buat untuk hidup lebih mampan dalam semua aspek?
Tip 3
Tak guna? Tutup!
Biasakan diri untuk tutup lampu/kipas apabila keluar bilik atau apabila tak diperlukan. Senang kan? Macam tu je kita boleh kurangkan penggunaan elektrik tau, dan sekaligus merendahkan emisi karbon.
Dan sertai Earth Hour pada 23 Mac atau buat pada masa anda sendiri je. Tutup suis yang tidak penting dan barang eletronik untuk melambangkan komitmen anda melindungi bumi.
Sikit-sikit, lama lama jadilah bukit! Relek je kita perlahan-lahan kearah kebaikan ye. Mari jadikan Minggu ke-2 masa untuk refleksi dan aksi sambil mengambil langkah ke arah masa depan yang lebih hijau.
Minggu Sisa Makanan
Kita dah lebih separuh jalan dah ni, dah minggu ke-3!
Kami harap perjalanan anda setakat ini memuaskan dan menaikkan semangat anda. Sambil kita meneruskan perjalanan ke arah #NgamDenganAlam, minggu ni kita fokus untuk kurangkan sisa makanan dan untuk kurangkan daging daripada diet kita.
Jangan lupa muat turun Senarai Semak Minggu ke-3 anda untuk merekod perjalanan anda dalam cabaran dan kekal teratur sepanjang minggu.
Tip 1
Cara Merancang Masakan untuk Mengurangkan Pembaziran Makanan
Sejujurnya, memasak boleh menjadi satu beban. Terlalu banyak pembaziran yang terlibat – dari segi masa dan usaha kita dan kadang-kadang pembaziran sisa makanan juga. Tetapi, jika anda masak secukupnya untuk beberapa hidangan sekaligus, ia mungkin berbaloi. Kenapa?
– Anda hanya perlu memasak sekali seminggu.
– Biasanya tidak ada lebihan bahan yang tidak digunakan.
– Anda boleh menikmati hidangan yang dibuat di rumah walaupun pada hari yang sibuk dan stress.
– Ia menjimatkan wang (ini mungkin menjadi perkara utama dengan semua kenaikan cukai yang berlaku)
– Anda menjimatkan pembungkusan makanan yang dihantar atau dibawa pulang.
Dengan mengambil langkah kecil, anda boleh hidup dengan lebih lestari, menjimatkan masa dan wang, serta mengelakkan pembaziran dan pembungkusan makanan. Menang dalam semua aspek! Berikut adalah caranya.
Langkah 1: Luangkan Masa dan Ruang di Dapur Anda
Periksa ruang penyimpanan, peralatan asas dan periksa diri, keluarga dan kalendar anda!
Langkah pertama yang mudah. Pastikan anda mempunyai ruang penyimpanan yang diperlukan di dalam peti sejuk dan ruang pembeku.
Apakah peralatan asas yang anda perlukan? Mudah, fikirkan tentang penggunaan semula! Pastikan anda mempunyai cukup periuk atau bekas boleh ditutup semula untuk menyimpan hidangan anda.
Dan yang paling penting, fikirkan tentang bagaimana gaya hidup anda pada masa kini.
– Berapa ramai orang di rumah anda?
– Berapa banyak anda makan untuk setiap hidangan?
– Bila anda makan di luar semasa waktu bekerja atau bersosial?
– Berapa sibuk minggu anda pada kebiasaannya?
Langkah 2: Pastikan Anda Teratur
Fikirkan tentang apa yang anda ingin makan pada minggu tersebut sebelum pergi membeli-belah. Anda sudah periksa peti sejuk dan ruang pembeku, jadi bahan apa yang sudah ada di dalamnya yang boleh anda gunakan sepenuhnya, seperti lebihan makanan.
Sudah selesai dengan itu? Sekarang anda boleh memulakan perancangan dengan lebih awal dan senaraikan kuantiti kasar bahan basah dan kering yang anda perlukan untuk memasak hidangan harian anda dan keluarga.
Sebagai contoh, berapa banyak pot beras yang biasanya anda masak untuk diri sendiri atau keluarga setiap hari? Kemudian gandakan bergantung kepada berapa hari anda ingin merancang makanan dan berapa banyak ruang yang anda ada untuk menyimpannya.
Periksa kalendar juga jika anda sudah mempunyai rancangan untuk makan malam di luar pada minggu itu 😉
Langkah 3: Pilih dengan Teliti
Dengan mengambil sedikit masa untuk melakukan langkah-langkah tersebut secara automatik telah mempersiapkan anda untuk memilih apa yang anda betul-betul perlukan ketika membeli-belah. Sama ada di pasar raya atau pasar pagi, patuhi senarai dan ambil barang yang anda benar-benar perlukan.
Anda juga boleh memilih masa yang paling sesuai dalam minggu tersebut. Jika memasak membuat anda tertekan, pilih waktu yang santai seperti pada hujung minggu. Sebaliknya, jika ia membuat anda rileks, lakukan pada waktu yang akan memberi manfaat maksimum kepada anda seperti pada hari-hari biasa. Pada akhirnya, anda hanya perlu melakukan persediaan dan mencuci periuk dan kuali sekali sahaja!
Petua Pro
Setiap bahan, sama ada sayur-sayuran atau daging, boleh mempunyai pelbagai kegunaan. Jadi jika anda banyak menggunakan kentang dan ingin menukar hidangan, permudahkannya. Potong, rebus, kukus atau bakar dan simpan dalam bekas kedap udara yang boleh ditutup semula. Apabila anda ingin makan, keluarkan sahaja, panaskan dan ubah rasa hidangan hanya dengan menukar sos atau mengagihkannya ke beberapa hidangan sepanjang minggu.
Ingatlah, simpan bahan kering dan berkuah secara berasingan. Dan jika anda tidak akan memasak hidangan yang sudah dimasak dalam masa sehari, bekukannya!
Tip 2
Cuba Hari Tanpa Daging
Pilih satu hari setiap minggu, seperti hari Isnin, untuk makan sahur dan buka puasa dengan hidangan tanpa daging.
Cuba benda baru yang anda tak pernah cuba lagi. Mungkin gantikan dengan kekacang, tauhu atau tempeh untuk hidangan tanpa daging. Boleh cuba resipi kami yang mudah disediakan untuk menjimatkan masa dan usaha.
Tip 3
Masak Menggunakan Lebihan Makanan
Simpan makanan lebihan secepat mungkin dalam bekas bertutup dan peti ais selepas habis berbuka puasa untuk mengekalkan kesegaran makanan itu.
Cuba pelbagai cara kreatif untuk menggunakan lebihan makanan dalam hidangan baru seperti salad, sup atau kebab.
Walaupun bagus untuk merancang dari awal, cuba bersifat fleksibel mengikut keperluan. Perhatikan bahan apa yang ada dan sesuaikan makanan anda dengan sewajarnya. Jika anda mengidam makanan tertentu atau perlukan lebih banyak variasi, jangan tak endahkan pulak.
Minggu Minda & Hati
Dah minggu terakhir untuk cabaran #NgamDenganAlam la!
Sambil kita menghabiskan minggu terakhir untuk cabaran ni, senarai semak yang akhir ini merangkumi semua isi senarai semak setiap minggu sebelum ini dan termasuk minggu ini juga.
Minggu ini, mari kita fokus kepada dua aspek yang penting: menaikkan kesedaran tentang krisis iklim dan membuat pilihan hidup yang lebih baik untuk alam.
Tip 1
Mulakan Perbincangan Tentang Perubahan Iklim
Mulakan perbincangan tentang perubahan iklim dengan keluarga dan rakan-rakan. Kongsi artikel atau dokumentari menarik tentang isu ini.
Galakkan mereka untuk cuba perubahan kecil ke atas gaya hidup yang boleh memberi impak positif ke atas alam sekitar.
Tip 2
Doa untuk Bumi
Untuk yang beragama Islam: Panjatkan doa istimewa untuk Bumi ketika anda menunaikan solat Terawih atau pada masa-masa yang anda teringat sepanjang hari.
Untuk yang bukan Islam: Ambil masa setiap hari untuk meluahkan kesyukuran anda ke atas keindahan dan kepelbagaian Bumi.
Tip 3
Bagi E-Duit Raya
Boleh cuba beri duit raya secara elektronik kepada sanak saudara, rakan-rakan, dan sesiapa lain yang memerlukannya.
Selitkan sekali mesej mengajak semua untuk #NgamDenganAlam, dengan cara seperti hantar ucapan Raya digital, atau menderma kepada organisasi yang memperjuangkan alam sekitar sebagai ganti hadiah biasa.
Sekecil manapun, tetap ada menyumbang ke arah Bumi yang lebih sihat. Terima kasih kerana telah bersama kami sepanjang cabaran ini.
Mengucapkan selamat be-Raya kepada anda dan keluarga!