Dalam memupuk keberjayaan sesuatu amalan, terdapat dua elemen penting iaitu langkah kecil yang mudah dipraktikkan dan konsisten. Sehubungan dengan itu, cabaran #NgamDenganAlam dibentuk dengan memfokuskan kepada langkah-langkah kecil dan mudah yang boleh dipraktikkan oleh individu bagi mengelakkan pembaziran dari segi makanan, penggunaan plastik dan tenaga. Hal ini secara tidak langsung dapat memupuk semula nilai kesederhanaan dan keseimbangan iaitu Wasatiyya serta mampu membuat Ramadhan ini lebih bermakna.
Antara langkah kecil yang telah saya praktikkan bersempena dengan cabaran ini adalah dengan membawa beg guna semula dan bekas makanan apabila berbelanja di bazar Ramadhan. Hal ini membuatkan saya lebih berhemah dalam merancang perjalanan dan pembelian harian saya.
Saya cuba melihat perkara ini dari sudut jangka masa panjang dan ia sebagai permulaan yang baik bagi melatih diri untuk berbelanja hanya apabila perlu sahaja. Selain daripada itu, saya juga cuba untuk berbelanja di kedai buah-buahan tempatan yang tidak menggunakan bungkusan plastik. Hal ini tidaklah mudah, akan tetapi ia lebih mudah jika dilakukan bersama-sama dengan teman.
Bagi minggu pengurangan tenaga, langkah kecil dan mudah yang saya praktikkan adalah dengan menutup suis apabila tidak menggunakannya, secara tidak langsung ia membantu saya untuk lebih peka dengan pengurusan waktu bekerja, berbuka puasa dan beribadah.
Oleh kerana telah konsisten dengan mengambil langkah kecil selama 3 minggu yang memberi fokus kepada pengurangan pembaziran plastik, tenaga dan makanan, pada minggu terakhir iaitu minda dan hati, saya lebih semangat untuk berkongsi dengan keluarga mengenai isu perubahan iklim dan bagaimana dengan melakukan perubahan kecil dalam gaya hidup seharian kita mampu menyumbang kepada pengurangan impak perubahan iklim.
Dengan meneruskan perkongsian, kebiasaan ini dapat dipupuk kepada golongan lebih ramai serta membantu untuk kita lebih peka dengan pengurusan masa dan kewangan serta mengelakkan dari amalan gaya hidup ‘autopilot’ serta menyumbang secara positif kepada komuniti dan alam sekitar kita.
Bulan Ramadhan menggalakkan kita untuk mengejar kebaikan serta membentuk disiplin dalam menahan lapar dan dahaga. Ia juga mengajar kita untuk saling menghargai ciptaan Tuhan seperti alam sekitar serta memahami mereka yang kurang berkemampuan. Hal ini secara tidak langsung, membimbing kita dalam erti sabar dan rendah diri. Dalam merasakan kepedulian dan kebersamaan terhadap alam dan sesama manusia kita dapat menumbuhkan nilai-nilai murni seperti kasih sayang, keikhlasan dan empati.