Musim tengkujuh bukan sesuatu yang asing bagi masyarakat Orang Asli dan Asal. Sejak dahulu, kami hidup bersama hujan, sungai dan hutan. Namun apa yang kami alami pada musim tengkujuh 2025 bukan lagi bencana alam semata-mata. Ia adalah krisis yang dipergiat dan diperburuk oleh pembalakan, khususnya di kawasan hulu sungai dan sekitar kampung pedalaman.
Di kawasan seperti Pos Simpor, Pos Pasik dan Pos Bihai, kesan pembalakan semakin terjejas, bukan sahaja pada landskap hutan, tetapi terus kepada keselamatan dan kelangsungan hidup komuniti kami.

Pembalakan dan terputusnya hubungan
Jalan-jalan balak yang dibina untuk mengangkut kayu kini menjadi punca utama bencana. Laluan ini merosakkan struktur tanah, memotong lereng bukit dan membuka kawasan hulu sungai tanpa kawalan.
Apabila hujan lebat berterusan, tanah yang telah longgar akibat pembalakan mudah runtuh. Sungai pula melimpah lebih cepat kerana hutan tidak lagi berfungsi sebagai penyerap semula jadi air hujan.
Pada 15 Disember 2025, di Sungai Jenera (Og Jenrol), jambatan di Kampung Bering Lama, Pos Pasik terputus akibat kepala air yang naik secara mendadak. Penduduk terputus hubungan sepenuhnya. Kejadian ini berlaku di kawasan hulu yang aktif dengan pembalakan, dan kami melihat sendiri bagaimana sungai menjadi semakin ganas sejak hutan ditebang.
Pembalakan menyebabkan krisis makanan
Apabila jalan balak rosak dan jambatan terputus, bantuan makanan lambat sampai. Stok beras dan keperluan asas cepat habis.
Dalam keadaan biasa, hutan menjadi sandaran kami untuk mencari makanan. Tetapi pembalakan telah mengurangkan hasil hutan dan memusnahkan kawasan carian tradisi. Semasa banjir, keadaan menjadi lebih teruk , sungai keruh, jambatan tenggelam, dan kawasan yang telah dibalak menjadi terlalu berbahaya untuk dimasuki.
Ini bermakna pembalakan bukan sahaja memusnahkan hutan, tetapi memutuskan dua sumber makanan kami sekaligus: bantuan luar dan hasil hutan.
Risiko kesihatan akibat alam yang rosak
Air banjir yang mengalir dari kawasan pembalakan membawa lumpur, sisa kayu dan kotoran ke kampung. Kualiti air merosot dengan ketara. Akibatnya, banyak kes cirit-birit, jangkitan kulit, demam dan selsema berlaku, terutamanya dalam kalangan kanak-kanak. Namun, apabila jalan terputus, akses kepada klinik dan ubat-ubatan juga terhalang. Pembalakan di hulu sungai secara langsung meningkatkan risiko kesihatan masyarakat Orang Asli dan Asal di hilir.
Tanaman musnah dan konflik dengan haiwan liar
Tanaman sara diri seperti ubi kayu, ubi keledek, padi huma, jagung dan pisang rosak akibat banjir dan tanah runtuh. Dalam masa yang sama, pembalakan memusnahkan habitat haiwan liar. Gajah, beruang dan babi hutan semakin kerap memasuki kampung kerana sumber makanan mereka di hutan telah hilang. Akhirnya, tanaman kami yang sedikit itu pula dimusnahkan. Ini bukan konflik semula jadi , ini adalah konflik yang dicipta oleh pembalakan.
Apabila hutan ditebang, kami kehilangan perlindungan
Hutan bukan sekadar pokok. Ia adalah benteng semula jadi daripada banjir, sumber makanan, dan sistem sokongan kehidupan masyarakat Orang Asli dan Asal.
Apabila hutan di hulu sungai ditebang , air hujan tidak lagi diserap, menyebabkan banjir kilat, sungai menjadi cetek dan deras, tanah mudah runtuh, kampung di hilir menanggung akibatnya. Musim tengkujuh 2025 membuktikan bahawa pembalakan menjadikan bencana lebih kerap, lebih ganas dan lebih memusnahkan.
Suara dari pedalaman
Kami tidak menolak pembangunan, tetapi kami menolak pembangunan yang memusnahkan nyawa dan masa depan. Pembalakan di kawasan sensitif, hulu sungai dan berhampiran penempatan Orang Asli dan Asal mesti dihentikan. Selagi hutan terus ditebang tanpa mengambil kira kesan kepada komuniti, setiap musim tengkujuh akan menjadi musim ketakutan bagi masyarakat Orang Asli dan Asal.
Ini bukan sekadar isu alam sekitar. Ini adalah isu keadilan, keselamatan dan hak untuk hidup dengan bermaruah.
Syafiq Dendi, wakil Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan (JKOAK).
Urge the acting NRES Minister to protect our forests in Malaysia
Email the MP

