Kalau Raya pulak macam mana ye? Dah habis 30 hari berpuasa dan ber-cabaran bersama kami, tapi kita bukan nak ‘putus’ di situ saja~
Pada Hari Raya Aidilfitri dan sepanjang bulan Syawal (Raya kan sebulan! ?) masih ada lagi yang boleh kita teruskan dan terapkan dalam hidup seharian. Pasti ramai yang ada rancangan nak buat rumah terbuka kan? Untuk keluarga dan kawan-kawan sekali. Ni saya kongsi cara saya kurangkan impak kepada alam sebagai hos rumah terbuka:
1. Datang tak ni?
Minta tetamu yang dijemput untuk memberitahu samada mereka akan datang atau tidak, supaya anda boleh memasak atau memesan makanan yang secukupnya dan tidak terlalu berlebihan.
2. Mampun ke layan ni…
Ikut kemampuan anda, atur rumah terbuka anda seadanya. Kalau anda suka masak banyak sekali dan buat rumah terbuka sekali je, sediakan badan dan minda, dan minta tolong ahli keluarga anda. Jangan pengsan pulak nanti! Kalau anda suka nak bersembang-sembang lebih banyak dari penat, buat rumah terbuka berskala pada satu hari masa berlainan ataupun buat pada hari atau minggu lain je. Mungkin boleh jemput keluarga sahaja pada satu hari, rakan sekolah hari lain, rakan uni, dan rakan kerja pun pada hari lain-lain.
3. Berapa banyak nak masak ni?
Anda boleh rujuk sini untuk cara menyukat masakan untuk kenduri kalau anda masak sendiri di rumah. Kita tak nak la makanan tak cukup, tapi juga makanan terlalu banyak pun tak best kan, peti ais dah penuh ni! Akan tetapi lebihan makanan mungkin tetap terjadi. Jadi bagaimana ni? Jangan panik, kalau masakan anda tidak tercemar silang, boleh la kongsi ke jiran tetangga, atau dermakan ke gelandangan, surau, dan masjid berdekatan. Ingat yang derma makanan bukan sahaja pada bulan puasa, malah mereka yang kurang berkemampuan perlukan makanan pada bulan-bulan lain juga ye.
Kalau makanan itu yang sudah dihidang, anda boleh simpan untuk makan sendiri, pastikan anda simpan dalam peti ais atau peti beku secepat mungkin dan dalam bekas yang sesuai. Cara terakhir ialah mengkompos sisa makanan itu jika anda ada kompos di rumah ataupun di pusat kompos komuniti yang berdekatan (semak di peta ini).
4. Banyakkan sayuran
Sayuran bukan sahaja lebih sihat tetapi juga mempunyai lebih kandungan air yang bagus untuk cuaca panas sekarang ni. Kurangkan daging, terutamanya daging merah dalam masakan. Makannya secara berlebihan boleh membawa penyakit dan juga tidak lestari untuk alam. Bersederhanalah.
5. Kurangkan gula (dan garam)
Seperti slogan kempen kerajaan; ‘Kurangkan gula dalam minuman, Lebihkan manis dalam senyuman’, sediakan makanan dan minuman yang lebih sihat supaya tetamu anda boleh datang lagi tahun depan ? Cuma tambahkan gula dan garam yang perlu sahaja dan tidak berlebihan.
6. Sejukkan hati dan badan
Pakai kipas dan buka tingkap dan pintu untuk pastikan ada pengaliran udara yang baik. Saya juga galakkan tidak pakai kipas siling, kerana kalau siling anda tidak di-indulasi dengan baik, udara panas akan ada banyak di atas tu, udara panas juga lebih ringan dan naik ke atas. Kalau pakai kipas siling udara panas akan ditarik ke bawah. Kalau ada, pakailah kipas meja atau kipas lantai lebih baik terutama pada tengah hari. Dah petang sikit boleh lah buka kipas siling.
Jika terlalu panas, semestinya keselesaan tetamu itu penting, jadi bukalah penyaman udara jika ada. Letakkan suhu pada 24 hingga 26 Celsius sudah cukup untuk selesa dan tidak terlalu membazir tenaga.
7. Buang budaya ‘Pakai Buang’
Sebaiknya pakai pinggan mangkuk dan sudu garpu yang dah ada dirumah, yang kaca, besi, seramik ataupun plastik yang bukan sekali pakai. Tetamu pun akan lebih selesa dengan barang yang teguh. Saya kalau pakai sudu garpu plastik tu mesti patah. Islam pun mengajar kita untuk melayan tetamu sebaik mungkin.
Atau lagi baik kita balik ke akar umbi dan galakkan tetamu guna tangan. Sediakanlah air basuh tangan atau sinki dan sabun sekali. Lagipun, membasuh tangan dengan kerap boleh mengelakkan penyakit berjangkit. Lepas basuh tangan boleh la bersalaman ye.
8. Bungkus itu best tau
Adab orang Melayu ni suka segan. Jadi sebagai tuan rumah, tanyalah tetamu jika mereka nak bungkus sedikit makanan yang dijamah. Jangan terlalu mendesak tetapi tegas la sikit yang anda ikhlas bertanya. Lagilah kalau mereka puji sedap mungkin ada secuit niat nak tambah lagi, tapi kan tak elok makan sampai terlalu kenyang, dan tetamu mesti ada rumah lain lagi nak diziarah. Kalau tetamu tu rapat dengan anda, boleh beri bekas guna semula anda. Ada lah alasan nak bertandang ke rumah mereka pulak! Atau kalau ada yang sudah tahu awal-awal nak bungkus masakan anda yang sedap tu, pesan suruh bawak bekas makanan siap-siap je.
Kalau yang jenis jumpa setahun sekali saja, mungkin sedikit janggal, jadi tuan rumah boleh sediakan bekas makanan untuk mereka bungkus lauk yang menarik hati untuk dibawa balik. Saya cadangkan bekas yang masih boleh guna semula tetapi tidak berharga seperti bekas plastik guna semula yang kita selalu dapat di kedai. Mak-mak mesti ada simpan banyak dalam almari yang dah siap dibasuh kan?
9. Duit Raya?!
Memberi atau menerima duit Raya ni bukanlah wajib, kalau budak-budak seronok lah dapat duit. Lebih penting kemesraan dan silaturahim dan bukanlah kandungan sampul tu. Kalau anda masih menerima duit Raya (macam saya la, masih belum kahwin boleh terima lagi okay ?) tetapkan hati anda untuk terima dengan ikhlas sikit atau banyak manapun jumlah. Jika memberi juga sama, tetapkan ikhlas memberi. Beri duit raya setakat mana yang mampu, jangan bebankan diri semata-mata ye.
InsyaAllah rezeki akan datang lagi. Anda boleh guna e-duit raya jika selesa, tapi saya ni jenis tradisional pada hal ni. Nak sampul jugak. Saya kumpul sampul-sampul tahun-tahun sebelum ini yang diterima atau lebihan yang ahli keluarga lain tak guna dan akan gunakannya pada tahun ni. Kebanyakan akan buang je sampul lawa-lawa tu pun. Jadi tak perlu pun nak beri yang baru. Anda boleh juga buat pengumpulan sampul lama dari adik beradik, sepupu, atau anak saudara pada tahun ini jika belum kumpul sebelum ni. Pesan kepada mereka jangan buang lepas keluarkan duit, simpan dan beri kepada anda! Tahun depan dah tak perlu fikir nak beli sampul lagi.
Beberapa perkongsian lain:
- Pakai semula baju raya tahun lepas atau tahun-tahun sebelum itu yang masih elok dan lawa. Pancarkan seri muka anda yang gembira menyambut Syawal tiba dan apatah lagi lebih gembira yang anda tidak menyumbang kepada ‘fast fashion’ dengan membeli baju baru yang akan digunakan beberapa kali sahaja. Kalau ada yang tanya kenapa tak beli baru, boleh cakap kerana anda sayang alam.?
- Pakai apron supaya baju Raya anda tak kena sambal!
- Kalau ada makcik pakcik yang mula tanya soalan peribadi yang anda taknak layan, contoh: bila nak kahwin, etc… cuba bukak cerita tentang pengalaman anda dalam cabaran #NgamDenganAlam, insyaAllah lebih bermanfaat dan dapat pahala menyebarkan kebaikan. Dari sakit hati kena ‘grill’ ? Mungkin mereka pun akan terbuka hati mengubah hidup mana tau? Paling kurang mereka berhenti tanya soalan merapu~
✨Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri ? bersama orang tersayang. Semoga tahun ini sambutan anda penuh dengan kegembiraan dan makanan yang sedap-sedap ye!