Pada 27 November 2025, banyak peristiwa yang menyayat hati berlaku di Kampung Jader Lama, Pos Simpor di Kelantan. Sekumpulan gajah liar telah menceroboh kawasan tanaman masyarakat Orang Asli dan memusnahkan sumber makanan utama penduduk.

Antara tanaman yang musnah ialah ubi kayu, ubi keledek, jagung, pokok betik dan pokok pisang , tanaman sara diri yang menjadi tunjang kelangsungan hidup harian komuniti. Bagi masyarakat kami, kemusnahan ini bukan sekadar kehilangan tanaman, tetapi kehilangan bekalan makanan, pendapatan, dan rasa selamat di tanah sendiri.

Ini bukan “Masalah Gajah”, ini masalah pembalakan

Serangan gajah seperti ini sering dilabeli sebagai konflik manusia–hidupan liar. Namun bagi kami di pedalaman, puncanya jelas: pembalakan dan pembangunan tidak terkawal telah menceroboh habitat gajah.

Apabila hutan ditebang, laluan migrasi gajah terputus, sumber makanan semula jadi gajah hilang, gajah terpaksa keluar dari hutan dan memasuki kawasan kampung.

Kampung-kampung Orang Asli dan Asal berada paling hampir dengan kawasan hutan. Maka kami menjadi barisan hadapan yang menanggung kesan apabila habitat gajah dimusnahkan. Gajah tidak “menyerang” tanpa sebab, mereka sedang mencari makan dan laluan hidup yang telah dirampas.

Kesan berganda kepada komuniti

Kemusnahan tanaman di Kampung Jader Lama berlaku ketika komuniti sudah pun tertekan akibat musim tengkujuh, banjir dan jalan terputus. Dalam keadaan bantuan sukar sampai dan hasil hutan semakin berkurangan akibat pembalakan, serangan gajah ini menambah satu lagi lapisan krisis.

Penduduk kini berdepan krisis kekurangan makanan, kehilangan sumber pendapatan harian, risiko keselamatan, khususnya kepada wanita, kanak-kanak dan warga emas. Lebih membimbangkan, serangan seperti ini berpotensi berulang selagi hutan terus ditebang.

Tuntutan Kami

Atas dasar keadilan dan keselamatan komuniti, kami menuntut:

  1. Siasatan segera oleh pihak berkuasa terhadap kejadian serangan gajah di Kampung terkesan, seperti Kampung Jader Lama.
  2. Penilaian kerugian menyeluruh dan penyediaan bantuan kecemasan kepada penduduk yang terjejas.
  3. Langkah mitigasi jangka panjang bagi mengurus konflik hidupan liar–manusia, bukan sekadar tindakan sementara.
  4. Pengiktirafan dan perlindungan Tanah dan Wilayah Adat Orang Asli dan Asal, sebagai langkah asas untuk melindungi habitat gajah dan mencegah pencerobohan akibat pembalakan dan pembangunan tidak terkawal.

Melindungi hutan bermakna melindungi nyawa

Selagi pembalakan terus berleluasa, konflik antara manusia dan gajah akan terus berlaku dan masyarakat Orang Asli dan Asal akan terus menjadi mangsa paling terkesan.

Melindungi hutan bukan sahaja soal pemuliharaan alam, tetapi soal keselamatan makanan, maruah, dan hak hidup masyarakat Orang Asli dan Asal. Jika habitat gajah dilindungi, kampung kami juga akan lebih selamat.

Isu ini mesti diberikan perhatian serius, bukan esok, bukan selepas tragedi seterusnya, tetapi sekarang.

Syafiq Dendi, wakil Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan (JKOAK).

Our Forests, Our Future

Urge the NRES Minister to protect our forests in Malaysia

Email the MP